Sabtu, 20 Februari 2010

Menjaga Amalan Zahir Dan Batin

Dalam mengamalkan segala ilmu yang dipelajari, Islam menuntut umatnya supaya menitikberatkan kedua-dua aspek zahir dan batin (rohani dan jasmani) yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Hakikat bahawa amalan batin mempengaruhi amalan zahir telah digambarkan oleh Baginda shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabdanya:

"...Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal darah, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa yang demikian itu adalah jantung hati". (sahih Al-Bukhari. no:52)

Dalam hadith yang lain Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Hanyasanya segala amalan dikira berdasarkan niat dan hanya sanya bagi setiap orang itu ialah apa yang dia niatkan, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu adalah  untuk Allah dan Rasulnya, dan sesiapa yang berhijrah kerana (mencari) habuan dunia atau kerana ingin berkahwin dengan seseorang wanita, maka hijrahnya itu adalah untuk apa yang telah dia niatkannya". (Sahih Al-Bukhari, Kitab Bad' Al-Wahy, bab 1)

(Pengabdian yang dipersembahkan melalui amalan zahir anggota badan semata-mata tidak mempunyai apa-apa erti jika ia tidak disertai dengan batin yang tulus ikhlas mengharapkan keradhaan Allah)

Hadith-hadith di atas menunjukkan bertapa amalan batin itu amat penting bagi menentukan kesahihan amalan zahir. Pengabdian yang dipersembahkan melalui amalan zahir anggota badan semata-mata tidak mempunyai apa-apa erti jika ia tidak disertai dengan batin yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ibadat solat, puasa, zakat dan sebagainya tidak ada nilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala jika ia dipersembahkan tanpa niat yang ikhlas. Setiap amalan , sama ada perbuatan atau perkataan jika tidak dilakukan dengan niat yang ikhlas akan dilaihat sebagai syirik tersembunyi (riya'). Sanda Baginda shallallahu 'alaihi wasalam:

"Wahai manusia! Sesungguhnya apa yang aku paling bimbang berlaku ke atas kamu iallah syirik tersembunyi". (Musnad Al-Bazzar, lihat: Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, no:508)

Namun sebagaimana amalan batin itu memberi kesan ke atas kesahihan amalan zahir, maka begitu sebaliknya, amalan zahir juga bolah mempengaruhi kesahihan amalan batin. Hakikat bahawa amalan zahir boleh mempengaruhi amalan batin juga telah digambarkan oleh Baginda shallallahu 'alaihi wasalam dalam sabdanya:

"Sesungguhnya Allah Maha Suci dan Dia tidak sekali-kali menerima (daripada hambanya) melainkan yang suci (zahir dan batin)". (Sahih Muslim,no:1015)

Hadith ini disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasalam semasa Baginda menceritakan kepada para Sahabat radhiallahu 'anhum kisah seorang lelaki dari kalangan umat terdahulu yang mengalami kesukaran dalam satu pengembaraan. Walaupun dia (lelaki itu) memohon doa dengan hati penuh keikhlasan, namun doanya tetap tidak termakbul keranan segala makanan, minuman dan pakaian yang dia gunakan adalah terhasil daripada sumber yang haram. (Sahih Muslim, no:1015)

Penolakan doa oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala disebabkan sumber pakaian dan makan minum yang haram menunjukkan bertapa amalan zahir juga bolah memberi kesan terhadap amalan batin. Dalam satu hadith lain Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman". (Sahih Muslim,no:223)

Menjelaskan maksud hadith ini, al-Ghazali rahimahullah menyatakan bahawa ungkapan "kebersihan sebahagian daripada iman' yang dimaksudkan dalam hadith ini bukan khusus bagi kebersihan zahir (fizikal) semata-mata, tetapi merangkumi juga kebersihan batin (spiritual) daripada seluruh penyakit hati seperti riya' dan hasad (Muhd. Abd Ar-Rahman Ibn 'Abbad, Dawa'Al-Qulub Al-Muqarrib Li Hadrat 'Allam Al-Ghuyub, hal:15-16).


Memandangkan kedua-dua amalan zahir dan batin itu saling memberi kesan ke atas amal ibadat, sedangkan amal ibadat itu pula adalah sumber 'makanan' rohani bagi menghasilkan tenaga jati diri, maka setiap muslim mesti menjaga amalan mereka zahir dan batin supaya ia diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dengan penerimaan itu maka sumber makanan rohani mereka akan bertambah dan kekuatan jati diri mereka pula dapat dipertingkatkan.

Ilmu Beserta Amal

Ilmu adalah pelita yang menerangi jiwa manusia untuk menempuh kegelapan kejahilan menuju cahaya pengetahuan. Gejolak jiwa yang bersemangat untuk memperjuangkan kebenaran tidak akan menghasilkan sebarang natijah bermanfaat jika ia tidak dipandu oleh ilmu yang mencukupi. Manakala penguasaan ilmu itu juga tidak memadai jika ia tidak disertai dengan amali, kerana ilmu dan amal adalah dua perkara yang tidak boleh berpisah sama sekali. Sanda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Tidak berganjak kaki seseorang hamba pada hari Kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan lima perkara: tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya setakat mana dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia dapat dan ke mana dia belanjakan, dan tentang masa remajanya untuk apa dia pergunakan". (Sahih Sunan At-Tarmizi, no:1970)

Dalam hadith lain, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Dibawa seorang lelaki pada hari Kiamat lalu dicampakkan ke dalam api Neraka sehingga terburai usus-usus perutnya, lalu dia berpusing-pusing di dalamnya umpama seekor himar yang sedang berpusing di batu kisarannya".

Penghuni Neraka mengerumuninya seraya bertanya:"Hai sipolan! Apa dah jadi pada kamu, bukankah dulu kamu yang menyuruh kami supaya berbuat kebaikan dan melarang kami daripada melakukan kemungkaran?"

Beliau menjawab:"Sungguh aku menyuruh kamu berbuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak mengamalkannya, dan sungguh aku melarang kamu daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya". (Sahih Muslim, no:2989)

Hadith pertama di atas menunjukan persoalan di Padang Mahsyar yang akan dihadapi oleh orang yang tidakberamal dengan ilmunya, manakala hadith kedua pula menunjukan balasan azab yang akan menimpa mereka akibat kelalaian  dalam beramal dengan ilmu mereka. Kedua-dua hadith menunjukan bertapa pentingnya amalan bagi orang yang berilmu dan bertapa bahaya kedudukan mereka itu jika tidak beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Apakah agaknya jawapan yang mampu diberikan  oleh orang yang tidak beramal dengan ilmunya bila ditanya di hadapan seluruh khalayak manusia dan jin, sedang aggota badan mereka telah bersiap sedia untuk menjadi saksi diatas segala amalan yang telah mereka lakukan?

Kita selalu membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam, yang antara lainya mengandungi ayat berikut:

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

maksudnya: "Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi) dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (Nasrani)". ( Al-Fatihah,1:6-7)

Golongan  Nasrani digelar "sesat" kerana mereka beragama tanpa ilmu, manakal golongan Yahudi pula digelar "yang dimurkai" Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana mereka tidak beramal dengan ilmu mereka. Mereka tahu kerasulan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam tetapi mereka tidak beriman dengannya. Orang yang beragama tanpa ilmu menyamai ciri-ciri golongan Nasrani, manakala orang yang tidak beramal dengan ilmunya pula menyamai perangai golongan Yahudi. Menyedari hakikat kepentingan amal ini, al-Khatib al-Baghdadi  rahimahullah berwasiat dengan katanya yang bermaksud:

"Aku mewasiatkan kamu wahai sekelian penuntut ilmu, agar kamu ikhlaskan niat dalam penuntutannya serta mengagahi diri untuk beramal dengannya, kerana ilmu itu umpama pokok manakala amal itu adalah buahnya, tidak dikira alim orang yang tidak beramal dengan ilmunya". (Al-Khatib Al-Baghdadi, Iqtida'Al-'llm-Al-'Amal, hal:14)

Dalam konteks ini juga seorang penyair Arab berkata:


"Wahai orang yang mengajar orang lain suatu ilmu, ada baiknya kamu ajarkan diri  kamu sendiri terlebih dahulu, kamu memberi preskripsi ubat kepada yang sakit, bagaimana mereka boleh sembuh dengannya sedangkan kamu sendiri berpenyakit, mulakan dengan diri kamu sendiri dan cegahilah ia daripada keserakahannya, bila kamu dah berjaya mengawalnya, maka jadilah kamu seorang yang bijaksana, jangan kamu cegah satu perbuatan yang kamu sendiri melakukannya, kerana yang demikian itu amat besar keaibannya". (Al-Mawardi.Adab ad-Dunya wa ad-Din, hal:3, dalam Wiqayah Al-Insan Min Al-Jin Wa Asy-Syaitan,hal:220)


Rabu, 17 Februari 2010

Yakin Dengan Kebenaran Islam

Ketika Baginda shallallahu 'alaihi wasallam memulakan dahwahnya di Mekah, kaum musyrikin Quraisy membalas usaha dakwah itu dengan pelbagai tindakan yang kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa, tetapi manusia yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang sebelum iman mereka runtuh. Para Sahabat mampu bertahan menghadapi segala cabaran kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.

Siap yang tidak kenal Bilal bin Rabah radhiallahu 'anh, yang sanggup bertarung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bungkah batu raksaksa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti dengan menyebut kalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya: "Ahadun Ahad"' "Ahadun Ahad". Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. tetapi Bilal tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasakan amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi.

Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya. Demikianlah juga Ammar, Yasir, dan Sumayyah radhiallahu 'anhum' satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman sehingga gugurlah ibu Sumayyah sebagai wanita syahid pertama. Demikian pula kisah Khubaib bin Adiyy radhiallahu 'anh yang telah ditawan oleh golongan musyrikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman dan dengan syarat itu beliau tidak peduli lagi bila, di mana dan bagaimana beliau akan dikobankan. Ketika sedang menunggu kematian sebagai hukuman, beliau mengalunkan:

"Aku tidak peduli jika aku mati, asalkan kematianku sebagai muslim yang berjuang pada jalan ilahi. Kerana yang demikian itu, jika dia kehendaki, nescaya ketulan dagingku yang bersepah akan diberkati."

Demikianlah juga Abu Salamah radhiallah 'anh yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah meskipun isterinya dirampas dari tangannya dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:469). Demikianlah juga Suhaib ar-Rumi  radhiallah 'anh yang menawarkan seluruh hartanya  kepada kaum Musyrikin semata-mata kerana ingin menyertai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhijrah ke Madinah (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:477). Demikianlah bertapa hebatnya iman bila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa memperdulikan nyawa mereka. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besisehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya". (Sahih Al-Bukhari, no:3416 & 6544.

Oleh itu setiap muslim mesti yakin dengan pegangan agamanya sebagaimana juga generasi umat Islam yang terawal meyakininya. Dengan keyakinan yang mantap itu, dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.

Utamakan Tanggungjawab

Semenjak dilahirkan, setiap manusia berpeluang untuk mendapatkan pelbagai hak yang dimilikinya. Hak untuk penyusuan, hak untuk mendapat pusaka, hak untuk ditahnik dan diaqiqahkan, hak untuk diberi nama yang baik, hak untuk mendapat penjagaan dan pendidikan yang sempurna serta pelbagai hak lain yang sentiasa bertambah seiring dengan pertambahan umurnya.

Manusia memang mempunyai banyak hak dan dia berhak untuk menuntut semua haknya, namun dalam usaha mengejar hak, manusia sering menjadi tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri sehingga kadangkala dia tidak akan teragak-agak untuk menzalimi orang lain semata-mata untuk mendapatkan haknya. Manusia seakan terlupa bahawa di samping hak yang mereka miliki, mereka juga mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Bagi umat Islam, tugas utama mereka sebagai hamba Allah bukan untuk menuntut hak, tetapi apa yang penting ialah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Az-Zariat, 51:56

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa matlamat kejadian makhluk jin dan manusia ialah untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian kepada-Nya. Setiap muslim seharusnya sedar bahawa matlamat utama kehidupannya adalah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  dan bukan untuk menuntut hak. Justeru seorang yang bersolat dituntut supaya membaca doa iftitah (doa pembuka solat), yang antara lainnya mengandungi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berikut:

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang sedemikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang terawal (yang berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mematuhi perintahnya)". Al-An'am, 6:162-163

Seorang muslim yang sejati akan menjadikan seluruh aktiviti kehidupannya sebagai manifestasi pengabdian kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana dia menyedari bahawa jika segala tanggungjawab itu ditunaikan dengan baik, maka dengan sendirinya akan tertunailah segala hak, tanpa perlu dituntut. 

Jika semua orang, baik lelaki atau wanita, tua atau muda, anak-anak atau ibubapa, pelajar atau guru, miskin atau kaya, majikan atau pekerja, rakyat atau pemerintah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan jujur serta amanah, maka akan tertunailah segala hak tanpa perlu ada tuntutan dari mana-mana pihak. Tetapi malangnya, kebanyakan  manusia hari ini hanya pandai menuntut hak mereka secara berlebihan, sedangkan pada masa yang sama mereka mengabaikan banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Keadaan ini juga telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:

"Akan berlaku sikap mementingkan diri sendiri dan perkara-perkara yang kamu tidak sukai". Mereka (Sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah!  (jika berlaku demikian) apa perintah kamu kepada kami?".  Baginda menjawab:"Hendaklah kamu tunaikan tanggungjawab (yang diamanahkan) ke atas kamu dan kamu pohonlah hak kamu daripada Allah". Sahih Al-Bukhari. no:3408.

Hadith ini juga dilihat sebagai satu lagi mukjizat ilmiah bagi Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kerana ia mengambarkan perubahan sikap manusia pada akhir zaman yang lebih mementingkan diri sendiri dan hak mereka semata-mata, sehingga mereka lupa kepada tanggungjawab. Justeru, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyarankan kepada umatnya supaya menghadapi situasi itu dengan cara menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menyerahkan persoalan hak mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semata-mata. Sebagai generasi umat Islam yang terbaik, maka saranan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam itu pantas di patuhi oleh para Sahabat. Ketika Baginda memberikan suatu pemberian kepada Umar bin Al-Khattab radhiallahu 'anh, dia (Umar) berkata:

"Berikannya kepada orang yang lebih berhajat daripadaku". Sahih Al-Bukhari,no1404.

Setiap muslim perlu mentarbiahkan diri mereka dengan sikap bertanggungjawab seperti yang ditunjukkan oleh Umar, supaya dengan sikap itu mereka boleh mengawal diri daripada membuat tuntutan lebih daripada menunaikan tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu asik dengan status "khalifah Allah" yang sering didodoikan kepada mereka, sehingga terlupa bahawa mereka juga seorang 'hamba Allah' yang diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu leka mengejar hak kebendaan sehingga terlupa bahawa mereka memikul pelbagai tanggungjawab keagamaan semenjak dari umur baligh sehingga ke akhir hayat. Setiap muslim tidak harus terlalu mementingkan diri sendiri sehingga terlupa bahawa gelaran mukallaf (Gelaran bagi seorang muslim yang berakal dan sampai umur serta berkemampuan untuk dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab ibadah) yang mereka sandang itu menjadikan mereka bertanggungjawab bukan sahaja terhadap hubungan mereka dengan Al-Khaliq tetapi juga terhadap hubungan mereka dengan sesama makhluk. Justeru, langkah pertama bagi pembinaan jati diri muslim perlu dimulai dengan memperbetulkan persepsi terhadap tanggungjawab pengabdian sebagai kemuncak bagi matlamat kehidupan.















Asasnya Kata Biacara

Pemerhatian terhadap realiti umat Islam pada hari ini menunjukan bertapa mereka memiliki tahap jati diri yang sangat lemah, rapuh dan mudah tergugat oleh cabaran pemikiran dan budaya persekitaran. Pembuktian hakikat ini tidaklah perlu kepada kajian lapangan dan menyeluruh yang membazirkan banyak masa, tenaga dan harta benda kerana sejak sekian lama telah pun digambarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:

" (Masa) semakin hampir bagi umat-umat (bukan Islam) untuk saling bekerja sama menguasai kamu sebagaimana para pelahap saling ajak mengajak untuk menyantap hidangan mereka.

Sahabat bertanya: "Adakah keadaan itu disebabkan bilangan kita sedikit pada hari itu?" Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:"(Tidak) Bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai cuma keadaan kamu sama seperti buih air bah. Oleh kerana itu Allah akan mencabut dari hati musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, sebaliknya Dia akan mencampakan kedalam hati kamu perasaan al-Wahn".

Sahabat bertanya:"Apakah itu al-Wahn? Nabi shallallah 'alaihi wasallam menjawab:"Cintakan dunia dan takut mati".

Dalam hadith ini Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengambarkan keadaan umat Islam yang telah hilang jati diri lalu hanyut dibawa arus kehidupan, sama seperti ghutha'as-sail (buih air bah) yang hanyut terapung-apung dibawa arus sehingga ia lenyap ditelan bumi atau hilang ditengah lautan.

Apa yang digambarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu mukjizat ilmiah yang benar-benar menjadi kenyataan terutama dalam konteks umat Islam pada hari ini yang membesar dalam suasana terlalu bebas dan terbuka sehingga kehidupan sosial mereka tidak lagi dibina di atas nilai-nilai agama, tetapi di atas nilai kebebasan yang mereka tiru daripada budaya bukan Islam.

Kebanyakan umat Islam tidak lagi menilai sesuatu perkara berdasarkan prinsif dan metodologi ilmu agama yang mantap, tetapi berdasarkan keinginan nafsu mereka semata-mata atau berdasarkan taqlid buta terhadap amalan tradisi yang telah membudaya. Akhirnya, jati diri mereka hilang dan timbullah gejala al-Wahn yang mendorong mereka untuk mengorbankan segala prinsip dan ajaran agama dengan sewenang-wenangnya.

Jati bermaksud asli, murni, tulen, yang sebenar dan tidak bercampur-campur. Jati diri muslim bukan bermaksud nilai-nilai kebudayaan umat Islam yang telah terbeza oleh kepelbagaian kabilah, bangsa dan keturunan, tetapi ia bermaksud nilai-nilai agama Islam yang tulen, murni, tetap dan tidak bercampur dengan sebarang bentuk pemikiran atau budaya asing.

Seseorang muslim dilihat sebagai berjati diri bukan kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai budaya bangsanya semata-mata, tetapi kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai agama Islam yang sebenar yang tidak bercampur dengan sebarang bentuk fahaman, pegangan dan amalam salah. Nilai budaya sesuatu bangsa hanya boleh diterima sebagai asas jati diri bangsa itu jika ia benar-benar bersesuaian dengan nilai-nilai agama. Sebaliknya jika berlaku percanggahan antara nilai-nilai budaya dan agama, maka nilai budaya itu sendiri perlu dilihat sebagai faktor penghakis yang menghakis jati diri seseorang muslim.

Justeru, tidak ada jalan yang lebih berkesan untuk mengambali dan meningkatkan kekuatan jati diri umat Islam, melainkan dengan cara mengembalikan mereka kepada penghayatan agama yang sebenar berdasarkan asas-asas pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebanyak 15 perkara yang dilihat sebagai asa penting bagi pembinaan jati diri setiap muslim. Sama-samalah kita memahami asas ini serta menghayatinya, semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan hidayah-Nya kepada kita semua.

ingin menulis lagi