Ketika Baginda shallallahu 'alaihi wasallam memulakan dahwahnya di Mekah, kaum musyrikin Quraisy membalas usaha dakwah itu dengan pelbagai tindakan yang kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa, tetapi manusia yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang sebelum iman mereka runtuh. Para Sahabat mampu bertahan menghadapi segala cabaran kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.
Siap yang tidak kenal Bilal bin Rabah radhiallahu 'anh, yang sanggup bertarung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bungkah batu raksaksa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti dengan menyebut kalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya: "Ahadun Ahad"' "Ahadun Ahad". Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. tetapi Bilal tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasakan amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi.
Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya. Demikianlah juga Ammar, Yasir, dan Sumayyah radhiallahu 'anhum' satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman sehingga gugurlah ibu Sumayyah sebagai wanita syahid pertama. Demikian pula kisah Khubaib bin Adiyy radhiallahu 'anh yang telah ditawan oleh golongan musyrikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman dan dengan syarat itu beliau tidak peduli lagi bila, di mana dan bagaimana beliau akan dikobankan. Ketika sedang menunggu kematian sebagai hukuman, beliau mengalunkan:
"Aku tidak peduli jika aku mati, asalkan kematianku sebagai muslim yang berjuang pada jalan ilahi. Kerana yang demikian itu, jika dia kehendaki, nescaya ketulan dagingku yang bersepah akan diberkati."
Demikianlah juga Abu Salamah radhiallah 'anh yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah meskipun isterinya dirampas dari tangannya dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:469). Demikianlah juga Suhaib ar-Rumi radhiallah 'anh yang menawarkan seluruh hartanya kepada kaum Musyrikin semata-mata kerana ingin menyertai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhijrah ke Madinah (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:477). Demikianlah bertapa hebatnya iman bila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa memperdulikan nyawa mereka. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besisehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya". (Sahih Al-Bukhari, no:3416 & 6544.
Oleh itu setiap muslim mesti yakin dengan pegangan agamanya sebagaimana juga generasi umat Islam yang terawal meyakininya. Dengan keyakinan yang mantap itu, dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.
Nawasib Yang Tersembunyi - Dr. al-Sharif Hatim Awni
4 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan