Sabtu, 20 Februari 2010

Ilmu Beserta Amal

Ilmu adalah pelita yang menerangi jiwa manusia untuk menempuh kegelapan kejahilan menuju cahaya pengetahuan. Gejolak jiwa yang bersemangat untuk memperjuangkan kebenaran tidak akan menghasilkan sebarang natijah bermanfaat jika ia tidak dipandu oleh ilmu yang mencukupi. Manakala penguasaan ilmu itu juga tidak memadai jika ia tidak disertai dengan amali, kerana ilmu dan amal adalah dua perkara yang tidak boleh berpisah sama sekali. Sanda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Tidak berganjak kaki seseorang hamba pada hari Kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan lima perkara: tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya setakat mana dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia dapat dan ke mana dia belanjakan, dan tentang masa remajanya untuk apa dia pergunakan". (Sahih Sunan At-Tarmizi, no:1970)

Dalam hadith lain, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Dibawa seorang lelaki pada hari Kiamat lalu dicampakkan ke dalam api Neraka sehingga terburai usus-usus perutnya, lalu dia berpusing-pusing di dalamnya umpama seekor himar yang sedang berpusing di batu kisarannya".

Penghuni Neraka mengerumuninya seraya bertanya:"Hai sipolan! Apa dah jadi pada kamu, bukankah dulu kamu yang menyuruh kami supaya berbuat kebaikan dan melarang kami daripada melakukan kemungkaran?"

Beliau menjawab:"Sungguh aku menyuruh kamu berbuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak mengamalkannya, dan sungguh aku melarang kamu daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya". (Sahih Muslim, no:2989)

Hadith pertama di atas menunjukan persoalan di Padang Mahsyar yang akan dihadapi oleh orang yang tidakberamal dengan ilmunya, manakala hadith kedua pula menunjukan balasan azab yang akan menimpa mereka akibat kelalaian  dalam beramal dengan ilmu mereka. Kedua-dua hadith menunjukan bertapa pentingnya amalan bagi orang yang berilmu dan bertapa bahaya kedudukan mereka itu jika tidak beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Apakah agaknya jawapan yang mampu diberikan  oleh orang yang tidak beramal dengan ilmunya bila ditanya di hadapan seluruh khalayak manusia dan jin, sedang aggota badan mereka telah bersiap sedia untuk menjadi saksi diatas segala amalan yang telah mereka lakukan?

Kita selalu membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam, yang antara lainya mengandungi ayat berikut:

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

maksudnya: "Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi) dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (Nasrani)". ( Al-Fatihah,1:6-7)

Golongan  Nasrani digelar "sesat" kerana mereka beragama tanpa ilmu, manakal golongan Yahudi pula digelar "yang dimurkai" Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana mereka tidak beramal dengan ilmu mereka. Mereka tahu kerasulan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam tetapi mereka tidak beriman dengannya. Orang yang beragama tanpa ilmu menyamai ciri-ciri golongan Nasrani, manakala orang yang tidak beramal dengan ilmunya pula menyamai perangai golongan Yahudi. Menyedari hakikat kepentingan amal ini, al-Khatib al-Baghdadi  rahimahullah berwasiat dengan katanya yang bermaksud:

"Aku mewasiatkan kamu wahai sekelian penuntut ilmu, agar kamu ikhlaskan niat dalam penuntutannya serta mengagahi diri untuk beramal dengannya, kerana ilmu itu umpama pokok manakala amal itu adalah buahnya, tidak dikira alim orang yang tidak beramal dengan ilmunya". (Al-Khatib Al-Baghdadi, Iqtida'Al-'llm-Al-'Amal, hal:14)

Dalam konteks ini juga seorang penyair Arab berkata:


"Wahai orang yang mengajar orang lain suatu ilmu, ada baiknya kamu ajarkan diri  kamu sendiri terlebih dahulu, kamu memberi preskripsi ubat kepada yang sakit, bagaimana mereka boleh sembuh dengannya sedangkan kamu sendiri berpenyakit, mulakan dengan diri kamu sendiri dan cegahilah ia daripada keserakahannya, bila kamu dah berjaya mengawalnya, maka jadilah kamu seorang yang bijaksana, jangan kamu cegah satu perbuatan yang kamu sendiri melakukannya, kerana yang demikian itu amat besar keaibannya". (Al-Mawardi.Adab ad-Dunya wa ad-Din, hal:3, dalam Wiqayah Al-Insan Min Al-Jin Wa Asy-Syaitan,hal:220)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan