Manusia memang mempunyai banyak hak dan dia berhak untuk menuntut semua haknya, namun dalam usaha mengejar hak, manusia sering menjadi tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri sehingga kadangkala dia tidak akan teragak-agak untuk menzalimi orang lain semata-mata untuk mendapatkan haknya. Manusia seakan terlupa bahawa di samping hak yang mereka miliki, mereka juga mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Bagi umat Islam, tugas utama mereka sebagai hamba Allah bukan untuk menuntut hak, tetapi apa yang penting ialah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
"Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Az-Zariat, 51:56
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa matlamat kejadian makhluk jin dan manusia ialah untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian kepada-Nya. Setiap muslim seharusnya sedar bahawa matlamat utama kehidupannya adalah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukan untuk menuntut hak. Justeru seorang yang bersolat dituntut supaya membaca doa iftitah (doa pembuka solat), yang antara lainnya mengandungi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berikut:
Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang sedemikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang terawal (yang berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mematuhi perintahnya)". Al-An'am, 6:162-163
Jika semua orang, baik lelaki atau wanita, tua atau muda, anak-anak atau ibubapa, pelajar atau guru, miskin atau kaya, majikan atau pekerja, rakyat atau pemerintah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan jujur serta amanah, maka akan tertunailah segala hak tanpa perlu ada tuntutan dari mana-mana pihak. Tetapi malangnya, kebanyakan manusia hari ini hanya pandai menuntut hak mereka secara berlebihan, sedangkan pada masa yang sama mereka mengabaikan banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Keadaan ini juga telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:
"Akan berlaku sikap mementingkan diri sendiri dan perkara-perkara yang kamu tidak sukai". Mereka (Sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah! (jika berlaku demikian) apa perintah kamu kepada kami?". Baginda menjawab:"Hendaklah kamu tunaikan tanggungjawab (yang diamanahkan) ke atas kamu dan kamu pohonlah hak kamu daripada Allah". Sahih Al-Bukhari. no:3408.
Hadith ini juga dilihat sebagai satu lagi mukjizat ilmiah bagi Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kerana ia mengambarkan perubahan sikap manusia pada akhir zaman yang lebih mementingkan diri sendiri dan hak mereka semata-mata, sehingga mereka lupa kepada tanggungjawab. Justeru, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyarankan kepada umatnya supaya menghadapi situasi itu dengan cara menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menyerahkan persoalan hak mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semata-mata. Sebagai generasi umat Islam yang terbaik, maka saranan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam itu pantas di patuhi oleh para Sahabat. Ketika Baginda memberikan suatu pemberian kepada Umar bin Al-Khattab radhiallahu 'anh, dia (Umar) berkata:
"Berikannya kepada orang yang lebih berhajat daripadaku". Sahih Al-Bukhari,no1404.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan