Sabtu, 27 Februari 2010

Berbeza Dengan Golongan Bukan Islam

Berdasarkan hakikat bahawa kesahihan amalan zahir dan batin saling berperanan dalam menentukan kesahihan amalan seseorang muslim, maka Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan Larangan meniru amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan , cara ibadat mahu pun budaya hidup. Islam menunutut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam, kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri muslim. Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah, antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :

"Kesudahannya, Kami jadikan engkau (Muhammad) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari perkara agama, maka turutlah syariat itu, dan jangan engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui". (Al-Jaathiah, 45:18)

Semua golongan bukan Islam adalah termasuk dalam pengertian 'orang yang tidak mengetahui' kerana mereka adalah golongan yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam konteks ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):

Dan Dia (Allah) melarang Baginda daripada mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui, sedangkan termasuk dalam maksud orang-orang yang tidak mengetahui itu ialah semua orang yang menyalahi syariat. (Ibn Taimiyyah, Iqtida' As-Sirat Al-Mustaqim Fi Mukhalafat Ashad Al-Jahim,hal:8)

Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"...Dan jangan pula mereka(orang beriman) menjadi seperti orang yang telah diberikan  Kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan ramai diantara mereka menjadi fasik" (Al-Hadid,57:16)

Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyyah mentafsirkan ayat ini dengan katanya yang bermaksud:

Maka maksud firmanNya "Dan janganlah pula mereka (orang beriman) menjadi, adalah satu larangan mutlak daripada meniru mereka (ahli Kitab), meskipun ia khusus bagi larangan daripada meniru kekerasan hati mereka, tetapi kekerasan hati itu adalah hasil daripada maksiat".( Ibn Taimiyyah, Iqtida' As-Sirat Al-Mustaqim, hal:43)

Manakala Al-Hafiz Ibn Kathir pula menyimpulkan maksud ayat itu dengan katanya yang bermaksud:

Dan kerana inilah Allah melarang orang beriman daripada meniru mereka (ahli Kitab) dalam apa jua perkara usul dan furu. (Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran Al-A'zim, 4:332)

Selain daripada ayat-ayat Al-Quran, terdapat banyak hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadith sahih mengenainya (Al-Albani, Jilbab Al-Mar'ah Al-Muslimah Fi Al-Kitab Wa As-Sunnah,hal:166-212) seperti:
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan lonceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Baginda diwahyukan dengan azan. (Sahih Sunan Abi Daud, no:498)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada solat pada waktu Matahari sedang terbit dan waktu ia sedang terbenam kerana adalah waktu sujud golongan pentembah Matahari.(Sahih Muslim, no:832)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada menjadikan perkuburan para anbiya' dan shalihin sebagai tempat ibadat kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani.(Sahih Muslim,no:530-532)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi.(Sahih Sunan Abi Daud,no:635)
  • Suruhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskan.(Sahih Sunan Abi Daud, no:652)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi.(Mustadrak Al-Hakim, lihat:Jilbab Al-Mar'ah, hal:175)
  • Peringatan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur.(Sahih Muslim, no:1096)
  • Saranan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya.(Musnad Ahmad, lihat:Jilbab Al-Mar'ah, hal:176)
  • Saranan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya umatnya berpuasa "Asyura' pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja.(Sahih Muslim, no:1134)
  • Saranan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya jemaah haji bergerak dari Muzadalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah.(Sahih Al-Bukhari, no:3626)
Kekeliruan Dan Jawapan

Kesemua hadith di atas menyokong dan menguatkan tafsiran ayat-ayat Al-Quran yang menegaskan prinsip berkenaan. Namun mungkin ada yang terkeliru dan mengatakan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan Islam hanya dalam perkara ibadat ritual seperti solat, puasa dan haji sahaja, bukan dalam perkara adat, budaya dan cara hidup. Kekeliruan ini boleh dijawab dengan dua jawapan, pertama jawapan bersifat umum manakal kedua jawapan secara khusus (spesifik):

Jawapan Umum

Telah sedia maklum bahawa Islam adalah satu cara hidup (The Way of Live) yang meliputi seluruh aktiviti kehidupan manusia. Justeru menghadkan ajaran Islam kepada ibadat-ibadat ritual semata-mata adalah satu daripada bentuk fahaman sekularisma.

Anas bin Malik radhiallahu 'anh telah meriwayatkan sebuah hadith yang menceritakan bahawa golongan Yahudi mengharamkan sebarang bentuk pergaulan dengan isteri yang berada dalam haid, sehinggakan dalam hal-hal yang tiada kaitan dengan persetubuhan seperti makan minum dan bergurau. Maka ketika ayat berkenaan haid diturunkan (Al-Baqarah,2:222), Baginda shallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan maksud ayat berkenaan dengan sabdanya:

"Kamu buatlah apa saja (ketika isteri kamu dalam haid) kecuali persetubuhan". 

Mendengar sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ini, mereka (orang Yahudi) berkata:

"Lelaki (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) ini tidak akan membiarkan satu pun dari amalan kita kecuali dia berbeza dengan kita dalam melakukannya". (Sahih Muslim,no:302)

Kata-kata orang Yahudi ini menunjukan bahawa Baginda shallallahu 'alaihi wasallam melakukan perbezaan dengan mereka dalam semua perkara meliputi semua urusan kehidupan, sehingga terkeluar dari mulut mereka keluhan terhadap perbezaan yang banyak itu. Pengajaran yang tersirat si sebalik hadith ini ialah, bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan bukan islam itu bukan terhenti setakat ibadat ritual semata-mata, bahkan juga meliputi perkara adat, budaya dan cara hidup.

Jawapan Spesifik

Terdapat banyak hadith sahih yang menunjukkan bahawa suruhan supaya berbeza dan larangan daripada meniru golongan buka Islam memang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam perkara-perkara adat dan budaya. Antara hadith-hadith yang menunjukan sedemikiaan ialah:
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap umatnya daripada menghormati Baginda secara berlebihan (mamuja) sebagaimana kaum Nasrani memuja Nabi Isa. (Sahih Al-Bukhari, no:3445)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada menghormati orang yang duduk dengan cara berdiri kerana yang demikian itu adalah cara penghormatan orang Parsi terhadap pembesar mereka.(Sahih Muslim, no:413)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap kaum lelaki daripada memakai pakaian yang dicelup dengan warna mua'sfar (merah oren) kerana ia merupakan warna pakaian orang bukan Islam.(Sahih Muslim,no:2077)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada meniru cara berpakaian golongan bukan Islam.(Sahih Muslim,no:2069)
  • Suruhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya kaum lelaki memendekkan misai dan membela janggut kerana ahli Kitab, Majusi dan Musyrikin mencukur janggut dan membela misai.(Sahih Al-Bukhari, no:5553)
  • Suruhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya kita menginaikan janggut atau uban kerana ahli Kitab tidak menginaikan janggut dan uban mereka.(Musnad Ahmad, lihat:Jilbab Al-Mar'ah, hal:184-185)
  • Suruhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya kita memakai seluar atau kain sarung bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab iallah memakai seluar sahaja.(Al-Albani, Jilbab A-Mar'ah hal: 184-185)
  • Suruhan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam supaya kita memakai khuf dan slipar bersilih ganti kerana kebiasaan ahli Kitab ialah memaki khuf sahaja.(Al-Abani,Jilbab Al-Mar'ah, hal:184-185)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada duduk sambil menongkat tangan ke belakang kerana ia adalah cara duduk orang Yahudi. (Sahih Sunan Abi Daud, no:4848)
  • Larangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam daripada bermain buah dadu kerana ia adalah sejenis judi yang dimainkan oleh orang'ajam (bukan Arab).(Musnad Ahmad, lihat: jilbab Al-Mar'ah, hal:198-200)
Peniruan Tetap HaramMeskipun Dengan Niat Yang Baik

Keadah usul fiqh telah menetapkan bahawa nas-nas yang bersifat suruhan menjurus kepada konsekuensi hukum wajib kecuali jika ada qarinah (petunjuk ilmiah) yang mengubahhukum wajib itu kepada sunat, manakala nas-nas yang bersifat larangan pula menjurus kepada kosekuensi hukum haram kecuali jika ia qarinah yang mengubah hukum haram itu kepada makruh.(Wahbah Az-Zuhaili, Usul Al-Fiqh Al-Islami, 1:234-235)

Berdasar kaedah ini, maka nas-nas suruhan supaya berbeza mesti difahami sebagai wajib kerana tiada apa qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar sunat, manakala nas-nas larangan daripada peniruan pula mesti difahami sebagai haram kerana tidak ada qarinah yang menunjukkan ia hanya sekadar makruh.

Dengan perkataan lain, Islam mewajibkan umatnya berbeza dengan golongan bukan Islam dan pada masa yang sama mengharamkan umatnya meniru mereka. Akan tetapi timbul satu persoalan, jika peniruan itu dilakukan dengan niat atau tujuan yang baik, maka adakah ia tetap haram? Jawabannya, ia tetap dilihat sebagai haramkerana prinsip ibadat dalam Islam telah menetapkan bahawa tujuan yang baik tidak sekali-kali akan menghalalkan cara. Ini kerana syarat penerimaan amalan bukan terletak pada niat baik semata-mata tetapi juga pada cara yang betul sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Dari sudut yang lain, larangan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam daripada meniru golongan bukan Islam seperti sabdanya: "Jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja (Nabi) Isa Ibn Maryam" (Sahih Al-Bukhari,no:3261), adalah lahir daripada kebimbangan Baginda terhadap pujian berlebihan yang boleh membawa kepada kesyirikan, sepertimana yang berlaku kepada golongan Nasrani. Justeru kebimbangan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam termasuk dalam kaedah fiqh yang masyur dikenali sebagai Sad Az-Zarai'(menutup pintu-pintu kemudaratan).

Namun apa yang dibimbangi oleh Baginda itu telah benar-benar menjadi kenyataan apabila ramai dari kalangan umat Islam pada hari ini tanpa mereka sedari telah meniru amalan golongan bukan Islam, bukan sahaja dalam perkara kebudayaan seperti cara berpakaian dan berhibur, malah peniruan juga berlaku dalam perkara ibadat khusus seperti amalan berzikir menggunakan 'biji tasbih' secara beramai-ramai dengan suara yang nyaring, bermelodi disertai hayunan badan dan kepala. ( Untuk mendapat penjelasan yang terperinci tentang perkara ini sila lihat: Hafiz Firdaus Abdullah, 2000, Zikir-zikir selepas Solat Fardu Sebagaimana Yang Diajar Dan Dilakukan Oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, Johor, hal:81-102)

Malahan, tanpa mereka sedari ramai dari kalangan mereka terdedah kepada bahaya kesyirikan dan kekufuran melalui amalan salawat yang mempersekutukan sifat Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dengan sifat Allah Subhanahu wa Ta'ala.(Seperti Salawat syifa'. Penulis khususkan perbincangan mengenainya dalam sebuah rencana berjudul: Kekaburan Salawat Syifa' Perlu Dijelaskan). Maka benarlah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:

"Sesungguhnya kamu akan ikut cara golongan sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hatta jika mereka masuk lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya." Sahabat bertanya: "Golongan Yahudi dan Nasranikah (yang kamu maksudkan)?" Baginda menjawab:"(kalau tidak mereka) siapa lagi?"(Sahih Muslim,no:2669)

Hikmah Di Sebalik Suruhan Berbeza Dan Larangan Peniruan

Semua ayat dan hadith di atas serta banyak lagi nas lain yang semaksud dengannya, menunjukkan bahawa kewajipan menyalahi etika ibadah, budaya dan cara hidup golongan bukan Islam adalah sebahagian daripada prinsip agama. Namun timbul persoalan di sini, apakah hikmah di sebalik prinsip ini dan kenapa pihak syara' kelihatan begitu prihatin terhadapnya? Jawapannya ialah kerana peniruan dan persamaan budaya hidup akan membabitkan rasa kasih sayang serta wala' (kepatuhan), sedangkan kasih sayang dan wala' kepada golongan yang tidak beriman bercanggah dengan tuntutan iman, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

لَّا تَجِدُ قَوۡمً۬ا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٲنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَہُمۡ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ڪَتَبَ فِى قُلُوبِہِمُ ٱلۡإِيمَـٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ۬ مِّنۡهُ‌ۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا‌ۚ رَضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِ‌ۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ (٢٢

"Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang denagn orang yang menetang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun mereka itu terdiri daripada bapa-bapa, anak-anak, saudara-mara dan ahli keluarga. Mereka (orang beriman) itulah orang yang Allah telah tanamkan keimanan dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripadanya." (Al-Mujadalah, 58:22)

Menjelaskan maksud ayat ini, Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata (maksudnya):

"Allah Subhanahu wa Ta'ala menegaskan bahawa tidak ada seorang pun orang beriman yang saling berkasih sayang dengan orang yang tidak beriman. Sesiapa yang menyayangi orang yang tidak beriman, maka dia bukan seorang yang beriman. Oleh kerana persamaan amalan zahir itu adalah punca terbibitnya kasih sayang, maka ia (persamaan amalan zahir) adalah haram. (Ibn Taimiyyah, Iqtida' Al-Sirat Al-Mustaqim,hal:6-7)

Di samping  membabitkan kasih sayang yang menjadi bukti kelemahan iman, persamaan amalan zahir juga menjadi faktor kepada terhakisnya identiti dan kemerosotan jati diri bergantung kepada kekuatan iman. Berdasar hikmah dan alasan ini, maka setiap muslim wajib berbeza dengan golongan bukan Islam  dalam semua aktiviti kehidupan mereka meliputi cara berpakaian, cara berjalan, cara makan minum, cara menghias rumah, cara berbelanja, cara berhibur, cara bergaul, cara berekreasi, cara bersukan dan sebagainya. Dengan perbezaan itu, mudah-mudahan jati diri keimanan dapat dibina di atas asa yang mantap, yang tidak boleh digugat oleh arus kehidupan moden.

Pun begitu, prinsip kewajiban berbeza ini tidak menghalang umat Islam daripada menjalinkan hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam. Islam menggalakkan kita berkerjasama dan bersatu padu dalam segala hal yang berkaitan dengan pembangunan dan kepentingan bersama. Piagam Madinah yang termeterai antara umat Islam dengan puak-puak Yahudi dan kabilah-kabilah Arab membuktikan bahawa hubungan kerjasama dan perpaduan dengan golongan bukan Islam amat digalakan oleh Islam. Cuma, kerjasama dan perpaduan itu perlu dipastikan berlaku dalam bentuk akomodasi dan intergrasi yang mampu mempertahankan identiti Islam dan bukan dalam bentuk asimilasi yang boleh menghakis jati diri agama.

Isnin, 22 Februari 2010

Memenuhi Syarat Penerimaan Amalan


Berdasarkan hakikat bahawa amalan batin boleh mempengaruhi kesahihan amalan zahir sebagaimana amalan zahir juga boleh menentukan kesahihan amalan batin, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan kesahihan kedua-dua jenis amalan zahir dan batin sebagai syarat bagi penerima amalan di sisi-Nya. Dalam konteks ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Barang siapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal shalih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". (Al-Kahf, 18:110)

(Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjadikan kesahihan kedua-dua jenis amalan zahir dan batin sebagai syarat bagi penerimaan di sisi-Nya)

Dalam ayat ini, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengariskan dua syarat bagi hambanya yang ingin mendapatkan ganjaran kebaikan di Hari Akhirat. Iaitu pertama, hendaklah dia mengerjakan amal shalih dan kedua, hendaklah dia tidak mempersekutukan Allah dalam amal ibadatnya itu. Yang dimaksudkan dengan amal shalih dalam ayat ini ialah amalan zahir yang menepati Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam kerana dialah satu-satunya Rasul yang diutuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mengajar kita  segala cara ibadat dalam Islam. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasalam:

"Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan (ibadat) bukan mengikut (spesifikasi) cara kami, maka ia adalah tertolak".(Sahih Muslim, no:1718)

Manakala yang dimaksudkan dengan 'tidak mempersekutukan Allah dalam ibadat' ialah amalan batin, iaitu melakukan ibadat dengan niat yang ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan-Nya, bukan kerana tujuan yang lain. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan yang ikhlas dan (bertujuan) mencari keredhaan-Nya semata-mata".(Sahih Sunan An-Nasai, no:3140)

Maksud ayat dan hadith di atas menunjukan bahawa syarat penerimaan ibadat di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala ada dua:
  • Pertama, kesahihan amalan batin dalam bentuk niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah.
  • Kedua, kesahihan amalan zahir dalam bentuk menepati Sunnah (cara) yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.
Bagi menghasilkan kualiti ibadat yang diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, kedua-dua syarat ini saling berkait dan tidak boleh berpisah antara satu sama lain. Jika amalan yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala meskipun menepati Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka bergitu juga sebaliknya, amalan yang tidak menepati Sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tidak akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala meskipun ada niat ikhlas.

Berdasarkan kedua-dua syarat ini, nyatalah kepada kita bahawa persepsi sebahagian masyarakat Islam yang meletakkan kekudusan sesuatu amalan hanya semata-mata kepada niat atau tujuan yang baik tanpa memperdulikan cara perlaksanaannya adalah persepsi yang salah sama sekali. Dalam sebuah hadith, tiga orang Sahabat radhiallahu 'anhum  datang bertanya kepada isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkenaan ibadat Baginda di rumah. Setelah mereka diberitahu mengenainya, mereka mula membuat perkiraan lojik dengan mengandaikan bahawa jika Baginda shallallahu 'alaihi wasallam yang maksum masih terus tekun beribadat, maka mereka yang tidak maksum perlu beribadat lebih daripada itu. Lantas seorang daripada mereka berazam untuk bersolat sepanjang malam, seorang lagi berazam untuk berpuasa sepanjang tahun, manakala yang ketiga pula berazam untuk tidak berkahwin seumur hidup. Mendengar kata-kata mereka itu, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Ketahuilah! Demi Allah! Sesungguhnya aku orang yang paling takut dan paling bertaqwa kepada Allah di antara kamu, tetapi aku (kedangkala) berpuasa dan (kadangkala) tidak, aku bersolat (malam) tetapi aku juga tidur dan aku juga berkahwin dengan wanita-wanita. Justeru, sesiapa yang berpaling dari Sunnahku, maka dia bukan dari (kalangan umat) ku". (Sahih Muslim, no:1401)

Hadith ini menceritakan tentang tiga orang Sahabat yang berazam untuk melipat gandakan kuantiti ibadat mereka, dengan niat yang tulus ikhlas bagi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Namun disebabkan cara ibadat yang mereka ingin lakukan itu tidak menepati cara Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, maka Baginda tidak memperakukannya meskipun niat mereka baik. Selain daripada hadith di atas, terdapat banyak lagi hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan penolakan terhadap falsafah 'tujuan menghalalkan cara', seperti sabda Baginda:

"Jangan kamu melampau memujaku sebagaimana golongan Nasrani melampau memuja (Nabi) Isa Ibn Maryam, aku hanyalah seorang hamba Allah, maka pujilah aku sebagai seorang hamba dan pesuruh Allah". (Sahih Al-Bukhari, no:3261)

Dalam hadith ini Baginda shallallahu 'alaihi wasallam melarang para Sahabat daripada memujinya secara berlebihan, sedangkan kita sedia maklum bahawa niat para Sahabat di sebalik pujian itu adalah baik dan cara pujian yang dilakukan oleh para Sahabat terhadap Nabi shallallahu 'alaihi wasalam tidaklah sampai mengangkat status Baginda  ke tahap ketuhanan sebagaimana cara pemujaan yang dilakukan oleh kaum Nasrani terhadap Nabi Isa. namun Baginda shallallahu 'alaihi wasallam tetap melarangnya sebagai satu penjelasan bertapa niat dan tujuan yang baik itu tidak sekali-kali akan menghalalkan cara.

Dalam satu lagi hadith lain, ketika Baginda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menuju ke medan peperangan Hunain, Baginda melalui sebatang pokok milik golongan Musyrikin dikenali sebagai Zat Anwat yang digunakan sebagai tempat menyangkut senjata sambil berkumpul di sekitarnya. Melihat kegunaan pokok tersebut, para Sahabat berkata: "Wahai  Rasulullah! jadikanlah untuk kami zat anwat sebagaimana mereka juga memiliki zat anwat". Mendengar kata-kata Sahabat itu, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Maha Suci Allah! (perkataan) ini sama seperti perkataan kaum Nabi Musa: "Buatkanlah untuk kami (sebuah patung) tuhan sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan", (Al-A'raf,7:138) Demi Yang (memegang) nyawaku di Tanganya! Sesungguhnya kamu akan ikut cara golongan sebelum kamu". (Sahih Sunan At-Tirmizi, no:2180)

Dalam peristiwa ini, Baginda telah menolak perkataan para Sahabat itu kerana ia dilihat menyerupai perkataan kaum Yahudi terhadap Nabi Musa 'alaihi salam, sedangkan niat di sebalik kedua-dua perkataan mereka itu adalah jauh berbeza. Kaum Yahudi meminta Nabi Musa supaya membuat untuk mereka sebuah patung tuhan sedangkan para Sahabat hanya meminta dijadikan sebatang pokok sebagai tempat untuk menggantung senajata. Teguran Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terhadap perkataan para Sahabat itu menunjukkan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak betul meskipun niat mereka baik.

Di kalangan umat Islam hari ini ramai yang menyangka bahawa sesuatu amalan itu pasti akan diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berdasar tujuan yang baik kerana mereka beranggapan bahawa sesuatu amalan itu akan menjadi baik bila ada niat yang baik. Kerana berpegang kepada persepsi yang salah ini, maka masyarakat Islam tidak lagi segan silu untuk melakukan perkara yang menyalahi sunnah Nabi shallallahu 'alahi wasallam atau yang melanggar batas-batas hukum syara' dengan alasan (kononnya): "Asalkan niatnya baik".

Akhirnya lahirlah ungkapan-ungkapan songsang seperti: "Walaupun saya tidak menutup aurat, tapi iman saya kuat","Walaupun saya tak bersembahyang tapi hati saya baik"," Walaupun kenduri tahlil itu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tak buat tapi tujuan ia dilakukan adalah baik".

Kata-kata seumpama ini ternyata lahir daripada individu yang gagal memahami prinsip dan sayarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Akibatnya, jati diri mereka menjadi terlalu lemah untuk berhadapan dengan runtuhan hawa nafsu yang sentiasa tertarik kepada kemaksiatan. Justeru untuk memantapkan jati diri, setiap muslim wajib menjaga prinsip kemurnian niat dan kesahihan cara sebagai dua syarat penerimaan amalan di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala yang mesti dihayati dengan sebaik mungkin dalam setiap aktiviti kehidupan.






Sabtu, 20 Februari 2010

Menjaga Amalan Zahir Dan Batin

Dalam mengamalkan segala ilmu yang dipelajari, Islam menuntut umatnya supaya menitikberatkan kedua-dua aspek zahir dan batin (rohani dan jasmani) yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Hakikat bahawa amalan batin mempengaruhi amalan zahir telah digambarkan oleh Baginda shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabdanya:

"...Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal darah, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa yang demikian itu adalah jantung hati". (sahih Al-Bukhari. no:52)

Dalam hadith yang lain Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Hanyasanya segala amalan dikira berdasarkan niat dan hanya sanya bagi setiap orang itu ialah apa yang dia niatkan, sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu adalah  untuk Allah dan Rasulnya, dan sesiapa yang berhijrah kerana (mencari) habuan dunia atau kerana ingin berkahwin dengan seseorang wanita, maka hijrahnya itu adalah untuk apa yang telah dia niatkannya". (Sahih Al-Bukhari, Kitab Bad' Al-Wahy, bab 1)

(Pengabdian yang dipersembahkan melalui amalan zahir anggota badan semata-mata tidak mempunyai apa-apa erti jika ia tidak disertai dengan batin yang tulus ikhlas mengharapkan keradhaan Allah)

Hadith-hadith di atas menunjukkan bertapa amalan batin itu amat penting bagi menentukan kesahihan amalan zahir. Pengabdian yang dipersembahkan melalui amalan zahir anggota badan semata-mata tidak mempunyai apa-apa erti jika ia tidak disertai dengan batin yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ibadat solat, puasa, zakat dan sebagainya tidak ada nilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala jika ia dipersembahkan tanpa niat yang ikhlas. Setiap amalan , sama ada perbuatan atau perkataan jika tidak dilakukan dengan niat yang ikhlas akan dilaihat sebagai syirik tersembunyi (riya'). Sanda Baginda shallallahu 'alaihi wasalam:

"Wahai manusia! Sesungguhnya apa yang aku paling bimbang berlaku ke atas kamu iallah syirik tersembunyi". (Musnad Al-Bazzar, lihat: Silsilah Al-Ahadith As-Sahihah, no:508)

Namun sebagaimana amalan batin itu memberi kesan ke atas kesahihan amalan zahir, maka begitu sebaliknya, amalan zahir juga bolah mempengaruhi kesahihan amalan batin. Hakikat bahawa amalan zahir boleh mempengaruhi amalan batin juga telah digambarkan oleh Baginda shallallahu 'alaihi wasalam dalam sabdanya:

"Sesungguhnya Allah Maha Suci dan Dia tidak sekali-kali menerima (daripada hambanya) melainkan yang suci (zahir dan batin)". (Sahih Muslim,no:1015)

Hadith ini disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasalam semasa Baginda menceritakan kepada para Sahabat radhiallahu 'anhum kisah seorang lelaki dari kalangan umat terdahulu yang mengalami kesukaran dalam satu pengembaraan. Walaupun dia (lelaki itu) memohon doa dengan hati penuh keikhlasan, namun doanya tetap tidak termakbul keranan segala makanan, minuman dan pakaian yang dia gunakan adalah terhasil daripada sumber yang haram. (Sahih Muslim, no:1015)

Penolakan doa oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala disebabkan sumber pakaian dan makan minum yang haram menunjukkan bertapa amalan zahir juga bolah memberi kesan terhadap amalan batin. Dalam satu hadith lain Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Kebersihan itu adalah sebahagian daripada iman". (Sahih Muslim,no:223)

Menjelaskan maksud hadith ini, al-Ghazali rahimahullah menyatakan bahawa ungkapan "kebersihan sebahagian daripada iman' yang dimaksudkan dalam hadith ini bukan khusus bagi kebersihan zahir (fizikal) semata-mata, tetapi merangkumi juga kebersihan batin (spiritual) daripada seluruh penyakit hati seperti riya' dan hasad (Muhd. Abd Ar-Rahman Ibn 'Abbad, Dawa'Al-Qulub Al-Muqarrib Li Hadrat 'Allam Al-Ghuyub, hal:15-16).


Memandangkan kedua-dua amalan zahir dan batin itu saling memberi kesan ke atas amal ibadat, sedangkan amal ibadat itu pula adalah sumber 'makanan' rohani bagi menghasilkan tenaga jati diri, maka setiap muslim mesti menjaga amalan mereka zahir dan batin supaya ia diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Dengan penerimaan itu maka sumber makanan rohani mereka akan bertambah dan kekuatan jati diri mereka pula dapat dipertingkatkan.

Ilmu Beserta Amal

Ilmu adalah pelita yang menerangi jiwa manusia untuk menempuh kegelapan kejahilan menuju cahaya pengetahuan. Gejolak jiwa yang bersemangat untuk memperjuangkan kebenaran tidak akan menghasilkan sebarang natijah bermanfaat jika ia tidak dipandu oleh ilmu yang mencukupi. Manakala penguasaan ilmu itu juga tidak memadai jika ia tidak disertai dengan amali, kerana ilmu dan amal adalah dua perkara yang tidak boleh berpisah sama sekali. Sanda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Tidak berganjak kaki seseorang hamba pada hari Kiamat sehinggalah dia ditanya berkenaan lima perkara: tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang ilmunya setakat mana dia amalkan, tentang hartanya dari mana dia dapat dan ke mana dia belanjakan, dan tentang masa remajanya untuk apa dia pergunakan". (Sahih Sunan At-Tarmizi, no:1970)

Dalam hadith lain, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Dibawa seorang lelaki pada hari Kiamat lalu dicampakkan ke dalam api Neraka sehingga terburai usus-usus perutnya, lalu dia berpusing-pusing di dalamnya umpama seekor himar yang sedang berpusing di batu kisarannya".

Penghuni Neraka mengerumuninya seraya bertanya:"Hai sipolan! Apa dah jadi pada kamu, bukankah dulu kamu yang menyuruh kami supaya berbuat kebaikan dan melarang kami daripada melakukan kemungkaran?"

Beliau menjawab:"Sungguh aku menyuruh kamu berbuat kebaikan tetapi aku sendiri tidak mengamalkannya, dan sungguh aku melarang kamu daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya". (Sahih Muslim, no:2989)

Hadith pertama di atas menunjukan persoalan di Padang Mahsyar yang akan dihadapi oleh orang yang tidakberamal dengan ilmunya, manakala hadith kedua pula menunjukan balasan azab yang akan menimpa mereka akibat kelalaian  dalam beramal dengan ilmu mereka. Kedua-dua hadith menunjukan bertapa pentingnya amalan bagi orang yang berilmu dan bertapa bahaya kedudukan mereka itu jika tidak beramal dengan ilmu yang mereka miliki. Apakah agaknya jawapan yang mampu diberikan  oleh orang yang tidak beramal dengan ilmunya bila ditanya di hadapan seluruh khalayak manusia dan jin, sedang aggota badan mereka telah bersiap sedia untuk menjadi saksi diatas segala amalan yang telah mereka lakukan?

Kita selalu membaca surah al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam, yang antara lainya mengandungi ayat berikut:

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦) صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

maksudnya: "Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang yang telah Engkau anugerahan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai (Yahudi) dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat (Nasrani)". ( Al-Fatihah,1:6-7)

Golongan  Nasrani digelar "sesat" kerana mereka beragama tanpa ilmu, manakal golongan Yahudi pula digelar "yang dimurkai" Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana mereka tidak beramal dengan ilmu mereka. Mereka tahu kerasulan Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam tetapi mereka tidak beriman dengannya. Orang yang beragama tanpa ilmu menyamai ciri-ciri golongan Nasrani, manakala orang yang tidak beramal dengan ilmunya pula menyamai perangai golongan Yahudi. Menyedari hakikat kepentingan amal ini, al-Khatib al-Baghdadi  rahimahullah berwasiat dengan katanya yang bermaksud:

"Aku mewasiatkan kamu wahai sekelian penuntut ilmu, agar kamu ikhlaskan niat dalam penuntutannya serta mengagahi diri untuk beramal dengannya, kerana ilmu itu umpama pokok manakala amal itu adalah buahnya, tidak dikira alim orang yang tidak beramal dengan ilmunya". (Al-Khatib Al-Baghdadi, Iqtida'Al-'llm-Al-'Amal, hal:14)

Dalam konteks ini juga seorang penyair Arab berkata:


"Wahai orang yang mengajar orang lain suatu ilmu, ada baiknya kamu ajarkan diri  kamu sendiri terlebih dahulu, kamu memberi preskripsi ubat kepada yang sakit, bagaimana mereka boleh sembuh dengannya sedangkan kamu sendiri berpenyakit, mulakan dengan diri kamu sendiri dan cegahilah ia daripada keserakahannya, bila kamu dah berjaya mengawalnya, maka jadilah kamu seorang yang bijaksana, jangan kamu cegah satu perbuatan yang kamu sendiri melakukannya, kerana yang demikian itu amat besar keaibannya". (Al-Mawardi.Adab ad-Dunya wa ad-Din, hal:3, dalam Wiqayah Al-Insan Min Al-Jin Wa Asy-Syaitan,hal:220)


Rabu, 17 Februari 2010

Yakin Dengan Kebenaran Islam

Ketika Baginda shallallahu 'alaihi wasallam memulakan dahwahnya di Mekah, kaum musyrikin Quraisy membalas usaha dakwah itu dengan pelbagai tindakan yang kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa, tetapi manusia yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang sebelum iman mereka runtuh. Para Sahabat mampu bertahan menghadapi segala cabaran kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.

Siap yang tidak kenal Bilal bin Rabah radhiallahu 'anh, yang sanggup bertarung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bungkah batu raksaksa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti dengan menyebut kalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya: "Ahadun Ahad"' "Ahadun Ahad". Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. tetapi Bilal tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasakan amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi.

Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya. Demikianlah juga Ammar, Yasir, dan Sumayyah radhiallahu 'anhum' satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman sehingga gugurlah ibu Sumayyah sebagai wanita syahid pertama. Demikian pula kisah Khubaib bin Adiyy radhiallahu 'anh yang telah ditawan oleh golongan musyrikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman dan dengan syarat itu beliau tidak peduli lagi bila, di mana dan bagaimana beliau akan dikobankan. Ketika sedang menunggu kematian sebagai hukuman, beliau mengalunkan:

"Aku tidak peduli jika aku mati, asalkan kematianku sebagai muslim yang berjuang pada jalan ilahi. Kerana yang demikian itu, jika dia kehendaki, nescaya ketulan dagingku yang bersepah akan diberkati."

Demikianlah juga Abu Salamah radhiallah 'anh yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah meskipun isterinya dirampas dari tangannya dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:469). Demikianlah juga Suhaib ar-Rumi  radhiallah 'anh yang menawarkan seluruh hartanya  kepada kaum Musyrikin semata-mata kerana ingin menyertai Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhijrah ke Madinah (Ibn Hisyam, As-Sirah An-Nabawiyyah,2:477). Demikianlah bertapa hebatnya iman bila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa memperdulikan nyawa mereka. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besisehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya". (Sahih Al-Bukhari, no:3416 & 6544.

Oleh itu setiap muslim mesti yakin dengan pegangan agamanya sebagaimana juga generasi umat Islam yang terawal meyakininya. Dengan keyakinan yang mantap itu, dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.

Utamakan Tanggungjawab

Semenjak dilahirkan, setiap manusia berpeluang untuk mendapatkan pelbagai hak yang dimilikinya. Hak untuk penyusuan, hak untuk mendapat pusaka, hak untuk ditahnik dan diaqiqahkan, hak untuk diberi nama yang baik, hak untuk mendapat penjagaan dan pendidikan yang sempurna serta pelbagai hak lain yang sentiasa bertambah seiring dengan pertambahan umurnya.

Manusia memang mempunyai banyak hak dan dia berhak untuk menuntut semua haknya, namun dalam usaha mengejar hak, manusia sering menjadi tamak, rakus dan mementingkan diri sendiri sehingga kadangkala dia tidak akan teragak-agak untuk menzalimi orang lain semata-mata untuk mendapatkan haknya. Manusia seakan terlupa bahawa di samping hak yang mereka miliki, mereka juga mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan. Bagi umat Islam, tugas utama mereka sebagai hamba Allah bukan untuk menuntut hak, tetapi apa yang penting ialah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

"Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu". Az-Zariat, 51:56

Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan bahawa matlamat kejadian makhluk jin dan manusia ialah untuk menunaikan tanggungjawab pengabdian kepada-Nya. Setiap muslim seharusnya sedar bahawa matlamat utama kehidupannya adalah semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab beribadat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala  dan bukan untuk menuntut hak. Justeru seorang yang bersolat dituntut supaya membaca doa iftitah (doa pembuka solat), yang antara lainnya mengandungi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang berikut:

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan yang sedemikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah orang Islam yang terawal (yang berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mematuhi perintahnya)". Al-An'am, 6:162-163

Seorang muslim yang sejati akan menjadikan seluruh aktiviti kehidupannya sebagai manifestasi pengabdian kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, kerana dia menyedari bahawa jika segala tanggungjawab itu ditunaikan dengan baik, maka dengan sendirinya akan tertunailah segala hak, tanpa perlu dituntut. 

Jika semua orang, baik lelaki atau wanita, tua atau muda, anak-anak atau ibubapa, pelajar atau guru, miskin atau kaya, majikan atau pekerja, rakyat atau pemerintah menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan jujur serta amanah, maka akan tertunailah segala hak tanpa perlu ada tuntutan dari mana-mana pihak. Tetapi malangnya, kebanyakan  manusia hari ini hanya pandai menuntut hak mereka secara berlebihan, sedangkan pada masa yang sama mereka mengabaikan banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Keadaan ini juga telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:

"Akan berlaku sikap mementingkan diri sendiri dan perkara-perkara yang kamu tidak sukai". Mereka (Sahabat) bertanya: "Wahai Rasulullah!  (jika berlaku demikian) apa perintah kamu kepada kami?".  Baginda menjawab:"Hendaklah kamu tunaikan tanggungjawab (yang diamanahkan) ke atas kamu dan kamu pohonlah hak kamu daripada Allah". Sahih Al-Bukhari. no:3408.

Hadith ini juga dilihat sebagai satu lagi mukjizat ilmiah bagi Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam kerana ia mengambarkan perubahan sikap manusia pada akhir zaman yang lebih mementingkan diri sendiri dan hak mereka semata-mata, sehingga mereka lupa kepada tanggungjawab. Justeru, Baginda shallallahu 'alaihi wasallam menyarankan kepada umatnya supaya menghadapi situasi itu dengan cara menunaikan tanggungjawab masing-masing dan menyerahkan persoalan hak mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala semata-mata. Sebagai generasi umat Islam yang terbaik, maka saranan Baginda shallallahu 'alaihi wasallam itu pantas di patuhi oleh para Sahabat. Ketika Baginda memberikan suatu pemberian kepada Umar bin Al-Khattab radhiallahu 'anh, dia (Umar) berkata:

"Berikannya kepada orang yang lebih berhajat daripadaku". Sahih Al-Bukhari,no1404.

Setiap muslim perlu mentarbiahkan diri mereka dengan sikap bertanggungjawab seperti yang ditunjukkan oleh Umar, supaya dengan sikap itu mereka boleh mengawal diri daripada membuat tuntutan lebih daripada menunaikan tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu asik dengan status "khalifah Allah" yang sering didodoikan kepada mereka, sehingga terlupa bahawa mereka juga seorang 'hamba Allah' yang diamanahkan dengan pelbagai tanggungjawab. Setiap muslim tidak harus terlalu leka mengejar hak kebendaan sehingga terlupa bahawa mereka memikul pelbagai tanggungjawab keagamaan semenjak dari umur baligh sehingga ke akhir hayat. Setiap muslim tidak harus terlalu mementingkan diri sendiri sehingga terlupa bahawa gelaran mukallaf (Gelaran bagi seorang muslim yang berakal dan sampai umur serta berkemampuan untuk dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab ibadah) yang mereka sandang itu menjadikan mereka bertanggungjawab bukan sahaja terhadap hubungan mereka dengan Al-Khaliq tetapi juga terhadap hubungan mereka dengan sesama makhluk. Justeru, langkah pertama bagi pembinaan jati diri muslim perlu dimulai dengan memperbetulkan persepsi terhadap tanggungjawab pengabdian sebagai kemuncak bagi matlamat kehidupan.















Asasnya Kata Biacara

Pemerhatian terhadap realiti umat Islam pada hari ini menunjukan bertapa mereka memiliki tahap jati diri yang sangat lemah, rapuh dan mudah tergugat oleh cabaran pemikiran dan budaya persekitaran. Pembuktian hakikat ini tidaklah perlu kepada kajian lapangan dan menyeluruh yang membazirkan banyak masa, tenaga dan harta benda kerana sejak sekian lama telah pun digambarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:

" (Masa) semakin hampir bagi umat-umat (bukan Islam) untuk saling bekerja sama menguasai kamu sebagaimana para pelahap saling ajak mengajak untuk menyantap hidangan mereka.

Sahabat bertanya: "Adakah keadaan itu disebabkan bilangan kita sedikit pada hari itu?" Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab:"(Tidak) Bahkan bilangan kamu pada hari itu ramai cuma keadaan kamu sama seperti buih air bah. Oleh kerana itu Allah akan mencabut dari hati musuh kamu perasaan gerun terhadap kamu, sebaliknya Dia akan mencampakan kedalam hati kamu perasaan al-Wahn".

Sahabat bertanya:"Apakah itu al-Wahn? Nabi shallallah 'alaihi wasallam menjawab:"Cintakan dunia dan takut mati".

Dalam hadith ini Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mengambarkan keadaan umat Islam yang telah hilang jati diri lalu hanyut dibawa arus kehidupan, sama seperti ghutha'as-sail (buih air bah) yang hanyut terapung-apung dibawa arus sehingga ia lenyap ditelan bumi atau hilang ditengah lautan.

Apa yang digambarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah suatu mukjizat ilmiah yang benar-benar menjadi kenyataan terutama dalam konteks umat Islam pada hari ini yang membesar dalam suasana terlalu bebas dan terbuka sehingga kehidupan sosial mereka tidak lagi dibina di atas nilai-nilai agama, tetapi di atas nilai kebebasan yang mereka tiru daripada budaya bukan Islam.

Kebanyakan umat Islam tidak lagi menilai sesuatu perkara berdasarkan prinsif dan metodologi ilmu agama yang mantap, tetapi berdasarkan keinginan nafsu mereka semata-mata atau berdasarkan taqlid buta terhadap amalan tradisi yang telah membudaya. Akhirnya, jati diri mereka hilang dan timbullah gejala al-Wahn yang mendorong mereka untuk mengorbankan segala prinsip dan ajaran agama dengan sewenang-wenangnya.

Jati bermaksud asli, murni, tulen, yang sebenar dan tidak bercampur-campur. Jati diri muslim bukan bermaksud nilai-nilai kebudayaan umat Islam yang telah terbeza oleh kepelbagaian kabilah, bangsa dan keturunan, tetapi ia bermaksud nilai-nilai agama Islam yang tulen, murni, tetap dan tidak bercampur dengan sebarang bentuk pemikiran atau budaya asing.

Seseorang muslim dilihat sebagai berjati diri bukan kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai budaya bangsanya semata-mata, tetapi kerana keteguhannya berpegang dengan nilai-nilai agama Islam yang sebenar yang tidak bercampur dengan sebarang bentuk fahaman, pegangan dan amalam salah. Nilai budaya sesuatu bangsa hanya boleh diterima sebagai asas jati diri bangsa itu jika ia benar-benar bersesuaian dengan nilai-nilai agama. Sebaliknya jika berlaku percanggahan antara nilai-nilai budaya dan agama, maka nilai budaya itu sendiri perlu dilihat sebagai faktor penghakis yang menghakis jati diri seseorang muslim.

Justeru, tidak ada jalan yang lebih berkesan untuk mengambali dan meningkatkan kekuatan jati diri umat Islam, melainkan dengan cara mengembalikan mereka kepada penghayatan agama yang sebenar berdasarkan asas-asas pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sebanyak 15 perkara yang dilihat sebagai asa penting bagi pembinaan jati diri setiap muslim. Sama-samalah kita memahami asas ini serta menghayatinya, semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan hidayah-Nya kepada kita semua.

ingin menulis lagi